SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini menyifatkan telahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai dua Adun Pas, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib), sebagai pengkhianat adalah benar.

Nik Abduh berkata, sebelum ini Nik Aziz ada memberitahunya bahawa dua Adun tersebut tidak lagi boleh dibenarkan bertanding atas tiket Pas kerana sikap pengkhianat mereka, semalam telahan itu ‘disahkan’ oleh salah seorang daripada mereka.

“Seorang daripada mereka telah membenarkan apa yang ayahanda TGNA beritahu saya sebelum ini bahawa dua pengkhianat itu tidak boleh lagi dibenarkan bertanding atas tiket Pas.

“Sekarang, dihiasi pengkhianatannya dengan rasa lapang dada dan kesediaan bertanding atas tiket DAP,” tulisnya menerusi laman sosial Faceboknya.

Dalam pada itu Nik Abduh berharap ahli Pas terus istiqamah bersama ulama.

“Ya ALLAH, kekalkan kami berkelana di medan siasah bersama para ulama rabbaniyyin,” tulisnya.

Semalam dalam satu ceramah, Adun Morib, Hasnul Baharuddin menyatakan kesediaannya untuk bertanding pada PRU akan datang atas tiket DAP.

Hasnul menegaskan bahawa beliau sudah bersedia untuk menerima apa sahaja keputusan dan tindakan tatatertib yang bakal dikenakan oleh pimpinan Pas Pusat.

"Segala kemungkinan yang saya kira akan saya hadapi, saya bersedia...

“... tak kisah, saya tak jadi calon Pas pun tak apa, saya boleh jadi calon DAP,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam anjuran DAP di sini, semalam.

Pada 14 Ogos lalu, seluruh pimpinan Pas digemparkan dengan penglibatan dua ahli Pas, Hasnul dan Saari yang menyatakan sokongan penuh terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Tindakan dua Adun tersebut sekali gus menjadikan ia sebagai majoriti undi menentang kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kedua Adun, Hasnul dan Saari kini berdepan dengan tindakan tatatertib yang bakal dikenakan terhadap mereka kerana didakwa membuat keputusan dengan membelakangkan parti Pas.